KUALA KURAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot gentian kaca bersama tiga kru nelayan tempatan di kedudukan 10.4 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau, semalam.

Penahanan itu dibuat pada jam 11.15 pagi pada Jumaat kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin, pasukan bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot gentian kaca dan dirapati untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan menemukan tiga kru nelayan tempatan termasuk tekong berusia antara 27 hingga 49 tahun berada di atas bot terbabit.

"Berdasarkan pemeriksaan ke atas dokumen, bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.

"Selain itu dianggarkan sebanyak 200 kilogram ikan pelbagai jenis turut ditemukan di atas bot semasa pemeriksaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua kru, bot, ikan campur dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau bagi tindakan lanjut serta disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

Maritim Malaysia menasihatkan kepada semua komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang salah laku jenayah dan kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Maritim Malaysia di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919.